Suatu hari ada seorang
lelaki yang menemui Ibrahim bin Adham. Dia berkata, “Wahai Aba Ishak!
Selama ini aku gemar bermaksiat. Tolong berikan aku nasihat.” Setelah
mendengar perkataan tersebut Ibrahim berkata, “Jika kamu mahu menerima
lima syarat dan mampu melaksanakannya, maka boleh kamu melakukan
maksiat.” Lelaki itu dengan tidak sabar-sabar bertanya. “Apakah
syarat-syarat itu, wahai Aba Ishak?”
Ibrahim bin Adham berkata,
“Syarat pertama, jika kamu bermaksiat kepada Allah, jangan memakan
rezekinya.” Mendengar itu dia mengernyitkan kening seraya berkata,
“Dari mana aku mahu makan? Bukankah semua yang ada di bumi ini rezeki
Allah? “Ya!” tegas Ibrahim bin Adham. “Kalau kamu sudah memahaminya,
masih mampukah memakan rezekinya, sedangkan kamu selalu berkeinginan
melanggar larangan-Nya?”
“Yang kedua,” kata Ibrahim,
“kalau mahu bermaksiat, jangan tinggal di bumi-Nya! Syarat ini membuat
lelaki itu terkejut setengah mati. Ibrahim kembali berkata kepadanya,
“Wahai Abdullah, fikirkanlah, apakah kamu layak memakan rezeki-Nya dan
tinggal di bumi-Nya, sedangkan kamu melanggar segala larangan-Nya?”
“Ya! Anda benar.” kata
lelaki itu. Dia kemudian menanyakan syarat yang ketiga. Ibrahim
menjawab, “Kalau kamu masih mahu bermaksiat, carilah tempat tersembunyi
yang tidak dapat terlihat oleh-Nya!” Lelaki itu kembali terperanjat
dan berkata, “Wahai Ibrahim, ini nasihat macam mana? Mana mungkin Allah
tidak melihat kita?” “Ya, kalau memang yakin demikian, apakah kamu
masih berkeinginan melakukan maksiat?” kata Ibrahim. Lelaki itu
mengangguk dan meminta syarat yang keempat.
Ibrahim melanjutkan, “Kalau
malaikat maut datang hendak mencabut rohmu, katakanlah kepadanya,
‘Ketepikan kematianku dulu. Aku masih mahu bertaubat dan melakukan amal
soleh’.” Kemudian lelaki itu menggelengkan kepala dan segera tersedar,
“Wahai Ibrahim, mana mungkin malaikat maut akan memenuhi
permintaanku?”
“Wahai Abdullah, kalau kamu
sudah meyakini bahawa kamu tidak boleh menunda dan mengundurkan
datangnya kematianmu, lalu bagaimana engkau boleh lari dari kemurkaan
Allah?”
“Baiklah, apa syarat yang
kelima?” Ibrahim pun menjawab, “Wahai Abdullah kalau malaikat Zabaniyah
datang hendak mengiringmu ke api neraka di hari kiamat nanti, jangan
engkau ikut bersamanya.”
Perkataan tersebut membuat
lelaki itu insaf. Dia berkata, “Wahai Aba Ishak, sudah pasti malaikat
itu tidak membiarkan aku menolak kehendaknya.” Dia tidak tahan lagi
mendengar perkataan Ibrahim. Air matanya bercucuran. “Mulai saat ini
aku bertaubat kepada Allah.” katanya sambil terisak-isak.
No comments:
Post a Comment